Assalamualaikum
warahmatullahiwabarokatuh.
Alhamdulillah, saya mengucap
syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala, kerana dengan izin dan inayat-Nya,
maka dapat lagi kita bersua dan berkhidmat di SMK Kuala Jenderis bagi tahun
2016. Saya menyeru kepada semua guru dan staf sokongan, agar terus berusaha dan
melaksanakan azam tahun baharu ke arah menjadikan SMKKJ lebih cemerlang dan
berdaya maju. Jadikan kerja buat kita lebih berfokus, serius, sedar diri dan
bertanggungjawab berbanding tahun-tahun sebelumnya. Yang paling penting kesungguhan,
komitmen, keikhlasan dan berintegriti
perlu diterap sebagai tonggak ampuh bagi menjana kecemerlangan diri dan
organisasi. Khususnya menjadikan segala kerja buat kita sebagai satu ibadat.
Sehubungan dengan itu, saya
berharap warga SMKKJ agar bersama-sama meletakkan iltizam pada tahap tertinggi
bagi memastikan perancangan Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM ) mencapai tujuannya. Selari dengan itu,
kita turut sama dituntut menghayati slogan Kerajaan Negeri Terengganu melalui
Transformasi Terengganu Baharu(TTB) iaitu prinsip ke-8 Memperkasakan Pendidkan menjadi
wahana terbilang. Bagi mencapai hasrat tersebut semua cita-cita murni Jabatan Pendidikan
Negeri Terengganu menerusi Memperkasakan Transformasi Pendidikan (MTP)
sewajarnya direalisasikan oleh warga pendidikan. Kecemerlangan sekolah dan
organisasi terletak pada sentuhan keramat guru semua.
Sesungguhnya menjadi
tanggungjawab kita mengukir wadah
kekuatan bagi menzahirkan murid-murid yang berwibawa dan berketrampilan yang
memenuhi enam aspirasi iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran
memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti
nasional seperti yang termaktub dalam kandungan PPPM. Seterusnya guru-guru juga
perlu sentiasa menggunakan kemahiran interaksional, kemahiran pedagogi dan
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) supaya pengajaran dan pembelajaran (PdP)
di bilik darjah lebih kondusif, menarik dan menyeronokkan.
Saya percaya dan berkeyakinan
bahawa setiap warga SMKKJ sanggup bekerja secara berpasukan yang mantap, pasti
hasrat dan cita-cita sekolah Bersama Menuai Kecemerlangan SMKKJ 2016
menjadi kenyataan.
Selamat bertugas demi
tanggungjawab kepada agama ,bangsa dan negara.
Terima
Kasih.
Selamat
Bertugas Untuk Sesi 2016
Pengetua,
SMKKJ
Nukilan pada 15 Disember 2015
No comments:
Post a Comment