Wednesday, 16 December 2015

Bingkisan Pengetua

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh.

                Alhamdulillah, saya mengucap syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala, kerana dengan izin dan inayat-Nya, maka dapat lagi kita bersua dan berkhidmat di SMK Kuala Jenderis bagi tahun 2016. Saya menyeru kepada semua guru dan staf sokongan, agar terus berusaha dan melaksanakan azam tahun baharu ke arah menjadikan SMKKJ lebih cemerlang dan berdaya maju. Jadikan kerja buat kita lebih berfokus, serius, sedar diri dan bertanggungjawab berbanding tahun-tahun sebelumnya. Yang paling penting kesungguhan, komitmen, keikhlasan dan berintegriti  perlu diterap sebagai tonggak ampuh bagi menjana kecemerlangan diri dan organisasi. Khususnya menjadikan segala kerja buat kita sebagai satu ibadat.
                Sehubungan dengan itu, saya berharap warga SMKKJ agar bersama-sama meletakkan iltizam pada tahap tertinggi bagi memastikan perancangan Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM ) mencapai tujuannya. Selari dengan itu, kita turut sama dituntut menghayati slogan Kerajaan Negeri Terengganu melalui Transformasi Terengganu Baharu(TTB) iaitu prinsip ke-8 Memperkasakan Pendidkan menjadi wahana terbilang. Bagi mencapai hasrat tersebut  semua cita-cita murni Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu menerusi Memperkasakan Transformasi Pendidikan (MTP) sewajarnya direalisasikan oleh warga pendidikan. Kecemerlangan sekolah dan organisasi terletak pada sentuhan keramat guru semua.
                Sesungguhnya menjadi tanggungjawab kita  mengukir wadah kekuatan bagi menzahirkan murid-murid yang berwibawa dan berketrampilan yang memenuhi enam aspirasi iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional seperti yang termaktub dalam kandungan PPPM. Seterusnya guru-guru juga perlu sentiasa menggunakan kemahiran interaksional, kemahiran pedagogi dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) supaya pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah lebih kondusif, menarik dan menyeronokkan.
                Saya percaya dan berkeyakinan bahawa setiap warga SMKKJ sanggup bekerja secara berpasukan yang mantap, pasti hasrat dan cita-cita sekolah  Bersama Menuai Kecemerlangan SMKKJ 2016 menjadi kenyataan.
               Selamat bertugas demi tanggungjawab kepada agama ,bangsa dan negara.
Terima Kasih.
Selamat Bertugas Untuk Sesi 2016
Pengetua,
SMKKJ
Nukilan pada 15 Disember 2015